Sunday, August 14, 2011

Kolam ikan ditabur racun

Kolam ikan ditabur racun (sinar harian 14 ogos 2011)

JOHOL – Seorang penternak ikan talapia Taiwan atau lebih dikenali sebagai Taipan mengalami kerugian sebanyak RM200,000 apabila tujuh daripada 17 kolam ikan peliharaannya mati dipercayai diracun di kolam ikan Air Mawang, Isnin lalu.

Lim Kooi Eam, 53, berkata, kejadian itu disedari Selasa lalu selepas sejumlah ikan timbul di permukaan kolam.

Menurutnya, ketika itu, dia tidak perasan ikannya diracun sehinggalah pada Selasa, dia menaburkan makanan tetapi ikan tidak timbul dan apabila air dikocak, dia nampak banyak ikan sudah terapung.

“Saya sangat terkejut dan sedih apabila tujuh kolam ikan yang diusahakan sejak 2010 musnah sekelip mata.

“Saya sudah hilang semangat untuk meneruskan pengusahaan ikan ini kerana perlu menanggung kerugian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Kooi Eam berkata, kolam yang diusahakan itu mengeluarkan hasil pada tiga bulan lalu dan ternyata dapat menghasilkan keuntungan memberangsangkan.

“Ikan ini mendapat sambutan kerana isinya putih dan sedap dimakan. Kini saya memasarkannya di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dengan harga RM8 hingga RM13 sekilogram.

“Penduduk juga gemar makan ikan ini dan ada juga yang beli ikan untuk dijual. Kadang-kadang mereka beli sehingga 50 kilogram hingga satu tan,” katanya.

Akibat kejadian itu, Lim berkata, penduduk membuat aduan kepadanya kerana timbul bau busuk dan lalat.

“Saya sangat kasihan pada mereka kerana terpaksa bau busuk setiap hari terutamanya pada waktu malam.

“Bagi menyelesaikan masalah itu, saya akan tanam ikan ini selain membakarnya. Ini sahaja yang boleh saya lakukan bagi mengelakkan bau busuk terus menghantui penduduk,” katanya yang mengajikan pekerja seramai enam orang.

Berikutan kejadian itu, Kooi Eam membuat laporan di Balai Polis Johol dan masih menunggu laporan pihak polis bagi siasatan selanjutnya.

“Saya berharap pihak yang tidak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan kerana menyebabkan saya kerugian selain memusnahkan punca pendapatan saya selama ini.

“Buat masa ini, saya berharap penduduk dapat bersabar dan memberi sedikit masa untuk saya menyelesaikan masalah bau busuk dan lalat,” katanya.

No comments:

Post a Comment